Cari

Ahlan Wasahlan



Get ISLAMIC-Graphics
Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bedah Buku. Papar semua catatan

Khamis, 23 Disember 2010

Bedah Buku : "Zaman Batu : Satu Pembohongan Sejarah" (Siri 2)


Bagaimana Meruncing Batu Dengan Batu???

Seperti mana yang telah dilakukan dalam evolusi manusia, perspektif sejarah evolusionis juga mengkaji sejarah manusia dengan membahagikannya kepada beberapa jangka waktu. Konsep rekaan seperti Zaman Batu, Zaman Gangsa dan Zaman Besi merupakan bahagian penting kronologi evolusionis. Oleh kerana gambar khayalan ini dipaparkan di sekolah, surat khabar dan televisyen, kebanyakan orang menerima rekaan ini tanpa soal dan membayangkan manusia dulu kala hidup dengan hanya menggunakan peralatan batu purba dan ketiadaan teknologi. Tetapi gambaran sebenar muncul apabila penemuan arkeologi dan fakta-fakta saintifik dikaji. Kesan dan tinggalan yang ada sehingga kini – peralatan, jarum, serpihan seruling, dekorasi dan hiasan peribadi – menunjukkan dari segi budaya dan sosial bahawa manusia sememangnya telah menjalani kehidupan bertamadun sepanjang sejarah.

Ribuan tahun dahulu, manusia tinggal di rumah, terlibat dengan pertanian, bertukar barangan, menghasilkan tekstil, makanan, melawat kenalan, meminati muzik, membuat lukisan, merawat orang sakit, melakukan penyembahan – ringkasnya, mereka menjalani kehidupan normal seperti mana hari ini. Golongan yang memberi perhatian kepada ajaran nabi-nabi utusan Allah telah mengimani-Nya, Tuhan yang Satu, manakala golongan yang lain menyembah berhala. Orang beriman berpaut pada nilai moral seperti yang dikehendaki oleh Allah, sementara pihak lain terlibat dengan pelbagai amalan karut dan upacara menyimpang. Sepanjang sejarah, seperti mana hari ini, terdapat golongan yang percaya dengan kewujudan Allah, dan juga golongan pagan dan ateis.

Sejak dulu lagi, tentunya ada di antara manusia yang hidup serba ringkas dan dalam keadaan primitif, dan ada juga masyarakat yang hidup lebih maju. Tetapi ini sama sekali tidak membuktikan evolusi sejarah, kerana sementara satu bahagian dunia melancarkan kapal ke angkasa, masyarakat di satu bahagian lagi masih tidak dilengkapi dengan kemudahan elektrik. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud bahawa mereka yang membina kapal angkasa adalah lebih maju secara mental atau fizikal – dan berkembang jauh dan lebih berbudaya – tidak juga bermakna golongan yang satu lagi hampir kepada manusia beruk khayalan. Semua ini sekadar menunjukkan perbezaan dalam budaya dan tamadun.

Ketidakupayaan Dakwaan Evolusionis Terhadap Penemuan Arkeologi

Jika anda mengkaji sejarah manusia seperti mana yang didakwa oleh evolusionis, anda akan menemui paparan terperinci tentang bagaimana moyang manusia yang kononnya primitive menjalani kehidupan seharian mereka. Sesiapa pun yang tertarik dengan cara berwibawa dan berkeyakinan ini tanpa sebarang ilmu tentang subjek tersebut, juga akan menganggap semua ‘rekaan semula yang serba artistik’ ini adalah berdasarkan bukti saintifik. Para saintis evolusionis hadir dengan penerangan terperinci seolah-olah mereka telah wujud sejak ribuan tahun dahulu dan berpeluang untuk melakukan pemerhatian. Mereka mengatakan bahawa moyang kita – yang kini telah belajar untuk berdiri di atas dua kaki dan tidak tahu menggunakan tangan – mula membuat peralatan dari batu, dan untuk sekian lamanya mereka tidak menggunakan selain daripada peralatan yang diperbuat daripada batu dan kayu. Hanya kemudiannya mereka mula menggunakan besi, tembaga dan loyang. Tetapi dakwaan ini lebih berdasarkan salah tafsiran dalam penemuan yang selari dengan pra-andaian evolusionis, bukan fakta saintifik.

Seorang ahli arkeologi, Paul Bahn dalam bukunya yang bertajuk Archaeology: A Very Short Introduction menjelaskan bahawa evolusi manusia adalah cerita dongeng semata-mata, dan menambah bahawa banyak sains yang berdasarkan cerita dongeng seumpamanya. Beliau bertegas bahawa perkataan ‘dongeng’ digunakan dalam makna positif, tetapi hakikatnya itulah yang sebenarnya. Beliau kemudian mengajak pembacanya untuk memikirkan tentang ciri-ciri tradisional evolusi manusia: memasak dan unggun api, gua yang gelap, upacara, pembuatan alatan, penuaan, perjuangan dan kematian. Beliau ternyata merasa ragu, berapa banyak daripada andaian ini yang berdasarkan kepada telulang dan tinggalan sebenar, dan berapa banyak yang berlandaskan criteria sastera? Bahn enggan untuk menjawab secara terbuka persoalan yang diutarakannya: iaitu, evolusi manusia lebih berlandaskan kepada kriteria sastera berbanding saintifik.

Hakikatnya, masih terdapat banyak persoalan yang belum terungkai dan ketidaksejajaran dalam penjelasan tersebut, dan sukar untuk dikesan oleh mereka yang mempunyai dogma evolusionis. Misalannya, mereka merujuk kepada Zaman Batu, tetapi gagal untuk menjelaskan bagaimana perkakas dan tinggalannya dibentuk dan diukir. Walaupun berkeras bahawa dinosaur mula bersayap dan terbang dalam usaha untuk menangkap lalat, tetapi mereka juga tidak mampu menerangkan bagaimana serangga bersayap berkebolehan untuk terbang. Mereka cenderung untuk melupakan semua persoalan, dan ingin orang lain mengikut jejak mereka. Namun begitu, membentuk dan mengukir batuan bukanlah satu tugas yang mudah. Adalah mustahil untuk membuat peralatan batu yang tajam dan sempurna, seperti yang terdapat di zaman sekarang, dengan menggeserkan batu dengan batu. Membentuk batu kasar seperti granit, basalt dan dolerit tanpa memecahkannya hanya boleh dilakukan dengan menggunakan kikir besi, mesin pelarik dan ketam. Begitu juga dengan gelang, anting-anting dan rantai leher yang berusia puluhan ribu tahun yang tidak mungkin dapat dihasilkan dengan perkakas batuan. Lubang-lubang halus pada objek berkenaan tidak dapat dibuat dengan menggunakan batu. Hiasan juga tidak dapat dibentuk dengan mengorek atau mengikisnya dengan batu. Kesempurnaan pada objek-objek yang dipersoalkan menunjukkan bahawa logam pejal pasti telah digunakan.

Ramai ahli arkeologi dan saintis telah membuat ujikaji untuk melihatkan sama ada artifak purba boleh dihasilkan seperti yang dibayangkan oleh evolusionis. Profesor Klaus Schmidt, contohnya, telah melakukan eksperimen terhadap ukiran pada blok batuan di Göbekli Tepe, Turki, yang dianggarkan berusia 11,000 tahun. Beliau memberi perkakas batu kepada beberapa pekerja, jenis sama yang telah digunakan pada waktu dulu berdasarkan dakwaan evolusionis, dan menyuruh mereka membuat ukiran sama pada jenis batuan yang sama. Selepas berusaha dua jam tanpa henti, apa yang mereka dapati hanyalah kebuntuan. Anda juga boleh melakukan ujian yang sama di rumah. Dapatkan sepotong batu keras seperti granit dan cuba jadikannya lembing seperti yang telah digunakan oleh mereka yang hidup 100,000 tahun dahulu. Tetapi anda tidak dibenarkan untuk menggunakan selain daripada sepotong granit tersebut dan juga batu. Sejauh mana anda rasa dapat melakukannya? Mampukah anda menghasilkannya dengan hujung runcing, simetri, kehalusan dan gilapan yang sama seperti yang terdapat dalam lipatan sejarah?

Mari kita bergerak lebih jauh; dapatkan sepotong granit berukuran satu meter persegi, kemudian cuba ukirkan gambar seekor haiwan untuk menunjukkan kedalaman ukiran pada permukaan granit. Bagaimanakah keputusan yang mungkin anda akan perolehi dengan mengasah batu pada sepotong batu pejal? Jelas bahawa tanpa adanya perkakas besi dan keluli, anda tidak akan mampu membuat walaupun sebentuk lembing, apatah lagi ukiran batu yang menarik. Pemotongan dan pengukiran batuan adalah bidang yang memerlukan kemahiran tersendiri. Teknologi yang diperlukan adalah penting untuk membuat kikir besi, mesin pelarik dan perkakas lain. Ini menunjukkan bahawa alatan berkenaan memang telah digunakan pada masa tersebut dan teknologi ‘primitif’ juga berkembang maju. Dengan erti kata lain, dakwaan evolusionis bahawa cuma peralatan batu yang diketahui dan ketiadaan teknologi hanyalah sekadar mitos. Zaman Batu tidak pernah wujud.

Namun, adalah munasabah bahawa peralatan keluli dan besi yang digunakan untuk
memotong dan membentuk batuan tidak kekal sehingga ke hari ini. Dalam persekitaran yang secara semulajadi lembap dan berasid, semua alatan logam akan melalui pengoksidaan dan akhirnya lesap. Apa yang tinggal hanyalah pecahan dan serpihan batuan hasil kerja mereka yang mengambil masa lebih lama untuk lenyap. Tetapi untuk mengkaji serpihan berkenaan dan mengatakan bahawa masyarakat dahulu kala cuma menggunakan batu bukanlah rumusan saintifik. Kini, ramai evolusionis akur bahawa penemuan arkeologi tersebut langsung tidak menyokong Darwinisme. Seorang ahli arkeologi evolusionis, Richard Leakey, mengakui bahawa dakwaan terhadap penemuan-penemuan itu adalah mustahil dari perspektif teori evolusi, terutamanya peralatan batu: Hakikatnya, bukti kukuh tentang kelemahan hipotesis pengikut Darwin boleh ditemui dalam rekod arkeologi. Jika mereka benar, maka kita berharap untuk melihat kewujudan serentak bukti dalam rekod-rekod arkeologi dan fosil bagi hidupan berkaki dua, teknologi dan pembesaran saiz otak. Tetapi tidak kita. Hanya satu aspek rekod pra-sejarah sudah mencukupi untuk membuktikan bahawa hipotesis itu tidak benar: rekod perkakasan batuan.1

Kronologi Rekaan Evolusionis

Dalam pengkelasan sejarah, evolusionis secara dogmatik mentafsir objek-objek yang ditemui berlandaskan teori mereka sendiri. Berdasarkan dakwan mereka terhadap kebanyakan ketamadunan purba, logam masih belum ditemui sewaktu Zaman Gangsa, dan besi hanya mula digunakan kemudiannya. Walau bagaimanapun, telah disebutkan tadi bahawa besi, keluli dan logam lain teroksida dan reput lebih cepat berbanding batu. Sesetengah logam seperti gangsa mempunyai daya tahan terhadap pengoksidaan dan kekal lebih lama berbanding yang lain. Maka, memang wajar jika objek gangsa yang ditemui adalah lebih berusia daripada objek-objek yang diperbuat daripada besi. Tambahan pula, adalah tidak logik untuk mengatakan bahawa masyarakat yang mampu menghasilkan gangsa tidak perasan akan kewujudan besi, dan masyarakat yang mempunyai kemahiran teknikal dalam penghasilan gangsa tidak menggunakan logam-logam lain.
Gangsa dihasilkan dengan mencampurkan timah, arsenik dan antimoni, serta sedikit zink dan tembaga. Mereka yang membuat gangsa mesti mempunyai pengalaman kerja berkaitan unsure-unsur kimia seperti tembaga, timah, arsenik, zink dan antimoni, tahu tahap suhu untuk mencairkannya, dan mempunyai relau untuk mencair dan menggabungkan mereka. Tanpa pengetahuan tersebut, adalah sangat sukar untuk menghasilkan campuran logam yang berjaya. Bijih tembaga didapati dari batu keras dan usang dalam bentuk hablur (juga dikenali sebagai ‘tembaga asli’). Masyarakat yang menggunakan tembaga terlebih dahulu harus mempunyai tahap pengetahuan untuk mengenal pasti serbuk tembaga daripada batuan pejal. Kemudian, lombong perlu dibina untuk mengekstrak, mengasing, dan membawa tembaga ke permukaan. Jelaslah bahawa tugas-tugas berkenaan tidak dapat dilakukan dengan perkakasan batu dan kayu. Untuk mencairkannya, bijih tembaga mesti diletakkan di atas nyalaan api dengan suhu 1,084.5°C (1,984°F). Pam angin juga diperlukan untuk membekalkan aliran udara yang berterusan
kepada api. Masyarakat yang bekerja dengan tembaga juga harus membina relau yang boleh menghasilkan suhu tinggi dan juga peralatan seperti periuk pelebur logam dan penyepit.

Ini adalah ringkasan berkaitan dengan kemudahan teknikal yang diperlukan untuk bekerja dengan tembaga – logam yang sememangnya terlalu lembut untuk bertahan lama terhadap sisi yang tajam. Penghasilan gangsa yang lebih keras dengan menambah timah, zink dan elemen lain kepada tembaga merupakan proses yang lebih canggih kerana setiap logam memerlukan proses berlainan. Semua fakta ini menunjukkan bahawa komuniti yang terlibat dengan perlombongan, penghasilan logam campuran dan pekerjaan logam harus mempunyai pengetahuan terperinci. Adalah tidak logik dan konsisten untuk mendakwa bahawa masyarakat dengan pengetahuan komprehensif sebegini tidak pernah menemui besi. Sebaliknya, dakwaan evolusionis bahawa logam belum ditemui dan tidak diaplikasikan oleh masyarakat purbakala dibuktikan tidak benar oleh penemuan arkeologi. Bukti-bukti penemuan seperti tinggalan kenderaan air yang diperbuat daripada logam berusia 100,000 tahun, sfera logam berusia 2.8 bilion tahun, sebuah periuk besi yang dianggarkan berusia 300 juta tahun, serpihan tekstil pada tanah liat berusia 27,000 tahun, dan kesan-kesan logam seperti magnesium dan platinum yang berjaya dicairkan di Eropah ratusan tahun dahulu, tinggalannya berusia ribuan tahun.

Sisa-sisa yang berselerakan ini telah menghancurkan sepenuhnya klasifikasi Zaman Batu Kasar, Zaman Batu Gosok, Zaman Gangsa dan Zaman Besi. Tetapi, walaupun kebanyakan besar penemuan ini telah tercetak dalam banyak penerbitan saintifik, ianya masih diabaikan oleh saintis evolusionis atau mungkin juga disembunyikan di bawah muzium. Cerita rekaan evolusionis telah dipersembahkan sebagai sejarah manusia, bukannya fakta sebenar.

                                                                                                                                           
                                                                   bersambung...

Jumaat, 10 Disember 2010

Bedah Buku : "Zaman Batu : Satu Pembohongan Sejarah" (Siri 1)

Nabi-nabi Allah Hidup di Zaman Batu?

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Salam sejahtera buat pengunjung yang dirahmati Allah sekalian. Kali ini saya tertarik untuk mengenengahkan persoalan-persoalan yang kita sering kali musykil daripada sudut pengetahuan am, sejarah dan kebenarannya seperti “Nabi-nabi Allah hidup di zaman batu?”,”Evolusi manusia daripada beruk?” dan sebagainya. Oleh itu, mari kita sama-sama meneliti buku “Zaman Batu : Satu Pembohongan Sejarah” karangan Harun Yahya. Jika nak ditatap sebuah buku mesti pening, timbul rasa malas dan sebagainya. Nah, jalan keluarnya! Kita baca sedikit demi sedikit. Semoga kita sama-sama mendapat pelajaran daripada slot bedah buku ini.

Tahukah anda bahawa 700,000 tahun dahulu, manusia melayari lautan dengan binaan kapal yang bagus? Atau pernahkah anda mendengar manusia yang digelar sebagai ‘orang gua primitif’ memiliki kemahiran artistik dan pemahaman sebagaimana yang dipunyai oleh artis moden? Adakah anda tahu bahawa Neanderthal yang hidup sejak 80,000 tahun dulu dan digambarkan oleh para evolusionis sebagai ‘manusia beruk’, juga mampu membuat alatan muzik, memperoleh keselesaan dari pakaian dan aksesori, dan berjalan di atas pasir panas beralaskan sandal?
*primitif = kolot, kuno
*evolusi = perubahan secara beransur-ansur pd haiwan atau tumbuhan, drpd satu generasi kpd generasi lain

Dalam segala kemungkinan anda mungkin tidak pernah mendengar fakta-fakta berkenaan. Sebaliknya, anda telah diberi tafsiran salah bahawa manusia tersebut adalah separuh manusia dan separuh beruk, tidak mempu berdiri lurus, kurang kemahiran untuk berkomunikasi dan hanya mengeluarkan bunyi dengusan yang pelik. Ini kerana dalam masa lebih daripada 150 tahun, kebanyakan orang seperti anda telah dihujani oleh keseluruhan penipuan ini.

Tujuannya adalah untuk meneruskan perjuangan falsafah materialis yang menafikan kewujudan Allah SWT. Menurut perspektif yang menyeleweng ini, alam semesta dan kebendaan adalah abadi. Dengan erti kata lain, ia tiada permulaan, dan juga tiada Pencipta. Asas yang kononnya saintifik untuk kepercayaan karut ini adalah teori evolusi.
Oleh kerana mereka mendakwa bahawa alam semesta tiada Pencipta, para evolusionis harus memberi penjelasan tentang bagaimana kehidupan dan sejumlah spesis lain wujud di bumi ini.

Untuk tujuan itu, mereka menggunakan teori evolusi. Berdasarkan teori ini, semua kejadian dan kehidupan di alam semesta berlaku secara kebetulan. Sebahagian benda tidak bernyawa di zaman purbakala bercantum secara tidak sengaja lalu membentuk sel hidup pertama. Kemudian organisma terwujud hasil daripada ketidaksengajaan selama jutaan tahun ini. Dan akhirnya manusia wujud sebagai peringkat terakhir rantaian evolusi.

Sejarah awal manusia – yang dianggap hasil daripada perubahan secara kebetulan selama jutaan tahun, dan setiap satunya lebih mustahil daripada perubahan terakhir, telah diselewengkan untuk menyokong senario songsang ini. Evolusionis, yang sememangnya ketiadaan bukti-bukti kukuh, mendakwa bahawa asal sejarah manusia adalah seperti berikut:

Bermula seperti bentuk kehidupan lain, berlangsung daripada organisma purba hingga kepada manusia yang dipercayai perkembangan paling maju berbanding yang lain. Oleh itu, sejarah manusia kononnya berkembang daripada komuniti primitif kepada masyarakat bandar yang moden. Hakikatnya, anggapan ini sama sekali tidak mempunyai sebarang bukti. Ia juga menggambarkan sejarah manusia seperti yang didakwa oleh falsafah materialis dan teori evolusi.

Para saintis evolusionis — dalam usaha mereka untuk menyokong proses evolusi yang dianggap bermula daripada sel tunggal kepada organisma berbilang sel, kemudian daripada beruk kepada manusia – bukan saja telah ‘menulis’ semula asal-usul manusia, bahkan juga ‘mencipta’ era khayalan seperti ‘Zaman Orang Batu’ dan ‘Zaman Batu’ untuk menjelaskan cara hidup ‘Orang Primitif’. Evolusionis, yang percaya pada kepalsuan bahawa manusia dan beruk berasal daripada moyang yang sama, telah memulakan usaha dalam kajian baru demi membuktikan dakwaannya.

Untuk itu, mereka meneliti setiap batu, atau mata panah, atau mangkuk yang ditemui semasa penggalian arkeologi. Walau bagaimanapun, gambaran ‘manusia beruk’ duduk di dalam gua yang gelap sambil berpakaian berbulu serta tidak mampu bercakap dengan baik, semuanya adalah rekaan semata-mata. Orang primitif tidak pernah wujud, begitu juga dengan Zaman Batu. Semuanya adalah pembohongan evolusionis dengan sebahagian bantuan media.

Dakwaan para evolusionis telah diruntuhkan sepenuhnya oleh perkembangan terbaru dalam bidang sains – terutamanya dalam ilmu biologi, paleontologi, mikrobiologi, dan genetik. Pendapat bahawa masing-masing spesis berubah menjadi ‘versi terbaru’, telah dibuktikan salah. Manusia juga tidak berkembang daripada makhluk beruk. Manusia sememangnya adalah manusia sejak kewujudan mereka lagi, dan mempunyai peradaban canggih sehingga ke hari ini.
*biologi = sains yg berkaitan dgn struktur, fungsi, perkembangan, taburan, dan proses hidup pd benda hidup
*paleontologi = kajian tentang fosil haiwan, tumbuhan, dan bentuk-bentuk hidupan purbakala
*mikrobiologi = cabang biologi yg berkaitan dgn kajian tentang organisma seni
*genetik = kajian tentang keturunan (baka), dan cara individu mewarisi sesuatu ciri (sifat), dan memindahkan ciri tersebut drpd satu generasi kpd generasi lain melalui gen

Maka, ‘evolusi sejarah’ juga tidak pernah terjadi. Buku ini mendedahkan bukti-bukti saintifik bahawa ‘evolusi sejarah manusia’ hanyalah pembohongan semata-mata, dan kami akan menunjukkan bagaimana hakikat penciptaan telah disokong oleh penemuan saintifik terkini. Manusia wujud di dunia ini bukan melalui evolusi, tetapi dengan penciptaan sempurna Allah yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui.

Teruskan pembacaan anda untuk mengetahui sendiri bukti-bukti saintifik dan sejarahnya.

Bersambung…